#htmlcaption #htmlcaption #htmlcaption #htmlcaption #htmlcaption

Wednesday 15 May 2013

Tugasan 1 ( Pentaksiran Berasaskan Sekolah)

Assalamualaikum dan salam sejahtera..di sini kami ada memuat naik tugasan 1 kami. Tajuk tugasan 1 kami ialah Pentaksiran Berasaskan Sekolah ( PBS )

1.0  Definisi Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS)
Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) merupakan pentaksiran yang bersifat holistik, iaitu menilai aspek kognitif (intelek), afektif (emosi dan rohani) dan psikomotor (jasmani) selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan dan Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR). PBS dioptimumkan untuk mentaksir bidang akademik dan bukan akademik.
PBS memberi pengiktirafan dan autonomi kepada guru untuk melaksanakan pentaksiran formatif (pentaksiran yang dijalankan semasa proses pembelajaran berlangsung) dan sumatif (pentaksiran yang dijalankan di akhir satu unit pembelaran) yang berasaskan sekolah . terdapat beberapa komponen PBS dalam pentaksiran kebangsaan iaitu, Pentaksiran Sekolah (PS), Pentaksiran Pusat (PP), Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK), dan Pentaksiran Psikometrik.
Pentaksiran Sekolah (PS) dirancang, dibina, ditadbir, diperiksa, direkod dan dilapor oleh guru sekolah di sekolah. Contoh instrumen pentaksiran yang boleh digunakan ialah lembaran kerja,pemerhatian, kuiz, senarai semak, laporan tugasan, tugasan rumah dan ujian.
Pentaksiran Pusat (PP) pula ditadbir, diperiksa, direkod dan dilapor di peringkat sekolah oleh guru berdasarkan tugasan dan skema pemarkahan yang dikeluarkan oleh Lembaga Peperiksaan dalam tempoh yang ditetapkan mengikut mata pelajaran.
Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK) dilaksanakan di peringkat sekolah dan ditadbir, direkod dan dilaporkan melalui penyertaan, penglibatan dan pencapaian murid dalam aktiviti jasmani dan kesihatan, sukan dan permainan, aktiviti kokurikulum dan aktiviti ekstrakurikulum (contohnya penglibatan sebagai ahli kumpulan marhaban yang dianjurkan oleh JK Surau tempat murid tinggal dan aktiviti bermanfaat lain yang dianjurkan oleh pihak luar selain sekolah).
Pentaksiran Pkisometrik pula dilaksanakan di peringkat sekolah dan/atau pusat untuk mengukur kebolehan (innate ability and acquired ability) semulajadi  murid, kemahiran berfikir, kemahiran menyelesaikan masalah, minat, kecenderungan, sikap dan personaliti murid. Pentaksiran ini tidak berasaskan kurikulum.


2.0  Mengapakah Sistem Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) dijalankan di Sekolah
Setiap sistem pendidikan yang dijalankan tersebut mempunyai sebab-sebab tertentu dalam meningkatkan tahap akademik para pelajar. Oleh itu, pelaksanaan pentaksiran berasaskan sekolah (PBS) ini di sekolah rendah mulai tahun 2011 dan peringkat menengah rendah mulai tahun 2012 berdasarkan Akta Pendidikan dan mesyuarat jemaah menteri.
Dalam Akta Pendidikan 1996 (Akta 550) dan peraturan-peraturan pendidikan (Penilaian dan Peperiksaan) 1997, Bahagian 11, Perkara 3 yang menggariskan fungsi Lembaga Peperiksaan adalah seperti berikut :
a. Perkara 3 (a): untuk memberi nasihat, memantau dan membuat analisis tentang penilaian berasaskan sekolah;
b. Perkara 3 (b): untuk mengendalikan semua peperiksaan mengikut peraturan-peraturan, garis panduan dan arahan tentang peperiksaan; dan
c. Perkara 3 (c): untuk mengadakan peperiksaan, untuk mengendalikan pemantauan peperiksaan dan menguatkuasakan peraturan-peraturan, garis panduan dan arahan tentang peperiksaan.
Seterusnya pula ialah mesyuarat jemaah menteri merupakan salah satu punca kuasa yang menyebabkan perlaksanaan sistem PBS ini. Sewaktu Mesyuarat Jemaah Menteri pada 17 Disember 2010 telah bersetuju supaya penambahbaikan Sistem Pentaksiran Pendidikan Kebangsaan (SPPK) bagi Ujian Pencapaian Sekolah Rendah(UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah(PMR) dilaksanakan dengan memberikan penekanan kepada pentaksiran untuk pembelajaran (assessment for learning) dan pentaksiran tentang pembelajaran(assessment of learning).
Selaras dengan arahan itu, Lembaga Peperiksaan (LP), Kementerian Pelajaran Malaysia(KPM) telah mengeluarkan:
a.    Pindaan Surat Pekeliling Lembaga Peperiksaan Bil. 1Tahun 2011: Penambahbaikan Sistem Pentaksiran Kebangsaan Bagi Ujian Pencapaian Sekolah Rendah Mulai Tahun 2011 -KP.LP.003.07.14 (3) bertarikh 22Februari 2011.
b.    Pindaan Surat Pekeliling Lembaga Peperiksaan Bil. 2 Tahun 2011: Penambahbaikan Sistem Pentaksiran Kebangsaan Bagi Penilaian Menengah Rendah (PMR) Mulai Tahun 2012 -KP.LP.003.07.14 (2) bertarikh 14 Februari 2011.

c.    Surat Siaran Lembaga Peperiksaan Bil. 3 Tahun 2011: Pemakluman Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) di Sekolah Rendah dan Menengah Rendah -KP.LP.003.07.14.05 (1) bertarikh 29 Julai 2011.
d.    Surat Siaran Lembaga Peperiksaan Bil. 6 Tahun 2011:Penggunaan Buku Pengurusan dan Pengendalian Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) Sekolah Rendah -KP.LP.003.07.14.05 (3) Bertarikh 15 September 2011.

3.0  Kelebihan dan Kekurangan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS)

3.1  Kelebihan Penilaian Berasaskan Sekolah

·         Pentaksiran Rujukan Standard
Pentaksiran Rujukan Stardard diperkenalkan dan merupakan kelebihan kepada Penilaian Berasaskan Sekolah. Pentaksiran Rujukan Standard menggunakan Stardard Prestasi demi untuk menambahbaikan kepada pentaksiran sekolah sedia ada. Melalui kaedah ini, guru dapat melihat kemajuan dan pertumbuhan pembelajaran serta pencapaian prestasi seseorang murid. Ia merupakan proses mendapatkan maklumat tentang sejauh mana murid tahu, faham dan boleh buat atau telah menguasai sesuatu yang telah dipelajari berdasarkan pernyataan standard prestasi yang ditetapkan mengikut tahap-tahap pencapaian seperti yang dihasratkan dalam dokumen kurikulum.

·         Murid-murid dinilai secara adil dan saksama
Selain itu, kelebihan penilaian berasaskan sekolah ialah murid-murid dinilai secara adil dan saksama sebagai individu dalam masyarakat berdasarkan keupayaan, kebolehan, bakat, kemahiran dan potensi diri tanpa dibandingkan dengan orang lain. Pihak sekolah mampu mendapatkan maklum balas yang lengkap dalam bentuk data kualitatif dan kuantitatif yang merangkumi segala aspek tentang diri seseorang murid itu bagi membolehkan pihak yang bertanggungjawab mengenali, memahami, menghargai, mengiktiraf dan memuliakan anak didik sebagai insane yang berguna, penting dan mempunyai potensi untuk menyumbang kepada pembangunan Negara dan bangsa mengikut keupayaan dan kebolehan masing-masing.


·         Mendidik guru berintegriti
Disamping itu juga, kelebihan penilaian berasaskan sekolah adalah mendidik guru berintegriti. Merujuk kepada maksud integriti dalam Kamus Dwibahasa DBP, 1985, integrity ialah kejujuran, ketulusan, kesempurnaan dan keutuhan. Oleh itu, integrity adalah merujuk kepada prinsip moral bagi seseorang individu. Guru sebagai penjawat awam perlulah melaksanakan amanah dan kuasa yang dipertanggunjawabkan mengikut kepentingan profesionnya. Oleh hal demikian, dengan melakukan tugas penilaian berasaskan sekolah ini terhadap murid-murid dengan penuh ikhlas dan jujur maka terdidiklah sifat integrity seseorang guru tersebut. Penilaian berasaskan sekolah ini memerlukan kejujuran, keutuhan mental dan fizikal, kesempurnaan dalam melakukan tanggungjawab dan tulus adalah penting bagi melancarkan lagi proses tersebut. Maka, tanggungjawab seseorang guru amat berat dalam mendidik pelajar dengan penuh keikhlasan dan kejujuran untuk melahirkan generasi yang berguna kepada masyarakat dan Negara kita.

·         Mudah merujuk pencapaian murid
Seterusnya ialah mudah untuk merujuk pencapaian murid dalam sesebuah kelas mahupun sekolah. Sistem penilaian berasaskan sekolah berkait rapat dengan penggunaan ICT. Semua data-data tentang murid-murid akan disimpan rapi. Oleh itu, jika ingin membuat perbandingan pencapaian yang lepas dengan yang terbaru guru hanya perlu membuka data-data tersebut dan sudah mendapat maklumatnya. Dengan ini, terlalu mudah untuk guru membuat laporan dan tidak perlu membelek-belek dan mencari fail yang tersimpan data-data murid-murid. Selain itu, guru juga dapat mengetahui dengan cepat pelajar yang cemerlang dan lemah. Dari situ, guru-guru berkenaan dapat memperbaiki prestasi murid yang lemah kearah cemerlang dan meningkat dalam pencapaian pembelajaran mereka.

·         Menunjukkan pertumbuhan murid dalam pembelajaran dan pengajaran
Kelebihan penilaian berasaskan sekolah juga adalah dapat menunjukkan pertumbuhan murid dalam pembelajaran dan pengajaran di sekolah. Melalui proses penilaian berasaskan sekolah ini, akan berlaku pertumbuhan dan perkembangan terhadap murid-murid. Pertumbuhan menurut Dewan Bahasa Dan Pustaka ialah perihal atau proses tumbuh (tentang manusia, tumbuh-tumbuhan dan binatang), tumbesaran. Oleh itu boleh dirumuskan pertumbuhan ialah merujuk kepada perubahan fizikal dan struktur badan secara kuantitatif. Ianya akan terhenti atau mengalami sedikit peruhan pada tahap kematangan. Manakala, perkembangan pula mengikut Dewan Bahasa Dan Pustaka ialah perihgal atau proses berkembang menjadi maju atau tersebar dan membiak. Daripada maksud ini, boleh dirumuskan perkembangan adalah proses perubahan individu menyesuaikan diri dengan persekitaran secara kualitatif. Ianya berlaku secara berterusan hasil daripada pengalaman dan pembelajaran. Oleh itu, murid-murid akan bertambah pengetahuan am dan semakin bijak menilai sesuatu. Hal ini kerana guru lebih banyak mendedahkan murid-murid dengan soalan-soalan yang menguji minda mereka. Sekiranya mereka tidak tahu sesuatu maksud mereka akna berusaha untuk menerokai ataupun menanyakan guru. Oleh itu, perkembangan dan pertumbuhan murid-murid semakin cemerlang.

3.2  Kelemahan Pentaksiran Berasaskan Sekolah

·         Membebankan guru
Setiap sesuatu perkara atau benda mesti terdapat kelebihan dan kelemahan. Hal yang sama juga berlaku dalam pentaksiran berasaskan sekolah. Pertama sekali kelemahan pentaksiran berasaskan sekolah ialah membebankan guru-guru disekolah. Hal ini demikian kerana terdapat kelemahan dalam sistem yang ditubuhkan. Antara kelemahannya ialah guru perlu mengekod band murid-murid. Jika setiap guru mengajar dalam 120 orang murid dalam satu sekolah, maka hal ini akan membebankan. Kenapa saya menyatakan begitu kerana guru bukan sahaja memfokuskan untuk menyiapkan kerja ini sahaja malah tanggungjawab lain yang ditanggung lagi terlalu banyak. Masa yang diberikan juga amat terhad. Selain itu, hal ini juga pernah dinyatakan dalam dada-dada akhar tentang perungutan guru-guru tentang beban ini. Disamping itu juga, sekiranya pentaksiran ini tidak dapat disiapkan di sekolah, guru akan membawa pulang kerja ini kerumah dan ini akan mengganggu masa guru tersebut bersama keluarga. Maka, jelaslah bahawa pentaksiran berasaskan sekolah ini amat membebankan guru-guru.

·         Tiada capaian yang cepat dalam menyiapkan PBS
Pentaksiran berasaskan sekolah ini berkait rapat dengan penggunaan ICT. Semua guru perlu ada jalur lebar atau dalam kata lain “broadband” untuk menyiapkan program ini. Tiada capaian yang cepat dalam menyiapkan pentaksiran berasaskan sekolah berlaku apabila jika seseorang guru melakukan aktiviti mengekod band-band murid kedalam data, dan berhenti seketika untuk melakukan tugas lain. Kemudian guru tersebut ingin menyambung kembali tugas itu, beliau perlu bermula dari awal dan menekan butang “next” sehinggalah sampai rekod yang terakhir. Hal ini amat menyukarkan guru dan telah mengambil masa yang lama, tambahan lagi jika jalur lebar yang ada adalah lembab. Masalah ini juga pernah dinyatakan oleh guru dalam blog dan akhbar-akhbar yang lepas dan mengharapkan pihak berkenaan ubah proses ini kearah yang lebih cepat dan maju.

·         Ibu bapa tidak mengetahui tahap IQ anak-anak
Sistem yang digunakan oleh pentaksiran berasaskan sekolah adalah band iaitu dari band 1 hingga band 6. Berbeza dengan sebelum ini yang menggunkan gred iaitu gred A, B, C dan seterusnya. Pengggunaan band ini tidak disukai oleh para ibu bapa kerana mereka tidak dapat mengetahui lebih terperinci tentang tahap kecerdasan anak-anak. Sesetengah ibu bapa yang kurang pandai pula tidak tahu apa itu band?, anak-anak lemah dimana? Dan sebagainya persoalan yang timbul dalam fikiran ibu bapa. Selain itu, melalui penggunaan pentaksiran berasaskan sekolah ini juga menyebabkan ibu bapa akan menghantar anak-anak mereka ke pusat tuisyen. Hal ini berlaku kerana takut anak-anak akan gagal pada masa peperiksaan sebenar.  Disamping itu juga, ibu bapa tidak dapat tahu terperinci tentang tahap kecerdasan anak-anak kerana guru sahaja yang menyimpan maklumat murid-murid yang sebenar dan ibu bapa hanya dapat maklumat yang umum sahaja. Tuntasnya, kelemahan ini amat dikesali oleh ibu bapa kerana mereka menginginkan yang terbaik untuk anak-anak tetapi sebaliknya berlaku iaitu ibu bapa tidak dapat mengukur tahap kecerdasan anak-anak mereka.

4.0  Aktiviti dalam Pengajaran dan Pembelajaran
·         Aktiviti Membaca
Guru-guru di sekolah mempunyai pengaruh yang besar kepada murid-murid. Murid  yang terdedah kepada pembelajaran ke arah pembacaan yang aktif akan lebih bersifat survival, berdikari dan lebih bijak dalam proses berfikir dan penyelesaian masalah (Raja Abdullah Yaacob : 2008).  
 Guru-guru boleh merancang P&P yang menjurus kepada pembacaan aktif dalam bentuk kerja kursus, tugasan pembentangan, gerak kerja berkumpulan, berkongsi artikel,  majalah atau akhbar dalam kelas, bicara buku, pertandingan bercerita, aktiviti drama atau persembahan boneka. Dengan pelaksanaan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS), aktiviti pengayaan pembacaan aktif  seperti lakonan, bercerita, forum, debat, sketsa dan pembentangan sewajarnya  disuburkan semula di sekolah-sekolah.
Sebagai contoh, dalam subjek Bahasa Melayu, guru boleh menggunakan pelbagai kaedah untuk menarik minat murid untuk membaca. Contoh aktiviti membaca yang boleh dianjurkan ialah:
·         Membaca beramai-ramai dalam perhimpunan khas.
·         Membaca secara korus di hadapan kelas.
·         Membaca secara individu di hadapan kelas.
·         Membaca dalam kumpulan.
·         Sesi bercerita berpandukan bahan bacaan dari Pusat Sumber Sekolah

·         Contoh aktiviti :
Kelas : 2 Mawar
Kemahiran : Membaca
Standart   :  Band 1  (Tahu)
Pernyataan Standart: Mengetahui perkara yang didengar-dituturkan, dibaca dan ditulis.

Tindakan Guru
Sebelum
Guru menyediakan RPH.
Menyediakan Alat Bantu Mengajar.
Memaklumkan kepada pelajar terlebih dahulu mengenai aktiviti yang bakal dijalankan.
Meminta murid untuk membawa buku teks Bahasa Melayu tingkatan 2 ketika kelas diadakan.                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                     
Semasa
Meminta murid untuk membuka buku teks pada halaman 3:
“BERTANDANG KE RUMAH SABRINA”
Memberi masa kepada murid untuk membaca teks ‘Bertandang ke rumah Sabrina’.
Guru dan murid akan bersoal jawab.
Kemudian guru akan meminta murid untuk menuturkan dialog dengan intonasi yang sesuai.
Guru mendengar tuturan murid di dalam kelas. 

Selepas
Guru akan membuat penilaian dengan teliti. 
Kemudian guru akan mengelaskan pelajar kepada baik, sederhana dan lemah.
Markah penilaian murid akan direkodkan oleh guru.

Tindakan Murid
Sebelum
Membuat persediaan sebelum memulakan aktiviti.
Membawa buku teks seperti yang diminta oleh guru.
Semasa
Murid membuka buku teks pada halaman 3 seperti yang diarahkan oleh guru di dalam kelas.
Murid menggunakan masa yang diberikan dengan sebaik mungkin untuk membaca teks yang terdapat di dalam buku teks Bahasa Melayu tingkatan 2.
Murid akan mengemukakan soalan untuk mendapatkan penjelasan lebih lanjut.
Seorang demi seorang murid akan menuturkan dialog dengan intonasi yang sesuai. 
Selepas
Murid akan dinilai oleh guru.
Selepas itu, murid akan diberitahu pencapaian mereka dalam aktiviti membaca.
Murid yang lemah akan mengulang band. Manakala murid yang baik akan meneruskan ke band 2.

Murid yang lemah akan dinilai sehingga melepasi band dan layak untuk pergi ke band seterusnya. 

5.0  Kesimpulan
Sebagai kesimpulannya, PBS ialah bentuk pendidikan masa hadapan. Anjakan paradigma yang berlaku ini bertepatan dengan pesanan Saidina Umar al-Khatab yang menegaskan supaya reka bentuk pendidikan anak-anak wajib berdasarkan keperluan masa hadapan mereka. Pelaksanaan PBS acuan Malaysia bermakna sistem pendidikan dan pentaksiran sentiasa melangkah ke hadapan, manakala segala kebijaksanaan dan pengalaman zaman-berzaman akan tetap dimanfaatkan dalam persekitaran terkini.
Cabaran pelaksanaan PBS memang akan sentiasa muncul dari masa ke masa. Kekurangan dan ralat yang masih wujud tidak wajar menjadi alasan untuk pelaksanaan PBS kembali lemah. Murid, guru dan masyarakat berhak untuk memberikan sumbangan terbaik demi masa hadapan bangsa dan negara.



6.0  Rujukan
Kementerian Pelajaran Malaysia (2013). Lamanweb rasmi Kementerian Pelajaran Malaysia.
      Diakses daripada
      http://www.moe.gov.my/lp/index.php?option=com_content&view=article&id=353:pentaksiran
      berasaskan-sekolah&catid=19



Tuesday 14 May 2013

Pendekatan Dalam Mengajar Membaca


Assalamualaikum dan selamat sejahtera diucapkan. Entri kami pada kali ini akan menerangkan mengenai kepelbagaian kaedah dan pendekatan dalam mengajar kemahiran membaca. Terdapat pelbagai teknik dan pendekatan yang boleh diaplikasikan untuk mengajar kemahiran membaca. Guru digalakkan untuk memvariasikan teknik dan kaedah pengajaran yang menarik agar dapat mencapai objektif yang telah ditetapkan. Antara kaedah yang menarik dalam mengajar kemahiran membaca ialah:

Pendekatan Abjad/huruf
Kaedah ini merupakan kaedah yang paling biasa digunakan dalam mengajar mengeja dan membaca perkataan. Kaedah ini mementingkan kanak-kanak mengenal nama-nama huruf dari a – z. Selepas itu kanak-kanak diajar mengenali huruf-huruf vokal a, e, i, o, u, huruf-huruf konsonan, dan diftong ai, au,oi. Bunyi-bunyi huruf juga diperkenalkan pada peringkat ini. Selepas itu huruf-huruf ini digabungkan bagi membentuk suku kata dan seterusnya perkataan.
Contoh: Memperkenalkan huruf - a - z
Memperkenalkan huruf vokal a, e, i, o, u
Menggabungkan huruf konsonan dan vokal - ba, be, bi, bo, bu
Membentuk perkataan daripada suku kata - ba + tu batu
Seterusnya membentuk rangkai kata dan ayat mudah.
Kekuatan kaedah ini adalah kerana sesuai dengan binaan perkataan bahasa Melayu yang terdiri daripada suku kata yang tetap bunyinya. Kaedah ini juga membolehkan kanak-kanak mengeja perkataan-perkataan baru yang belum dipelajarinya. Selain itu, kaedah ini memberi asas yang kukuh dalam membaca.


Pendekatan Pandang dan sebut/Kaedah Seluruh Perkataan
Kaedah ini sangat popular dalam mengajar bacaan dalam bahasa Inggeris, namun guru boleh mencuba kaedah ini untuk mengajar membaca dalam Bahasa Melayu. Melalui kaedah ini, pengajaran membaca adalah berdasarkan perkataan-perkataan yang biasa (sight words) diguna seharian yang membentuk kebanyakan pertuturan kita seperti saya, makan, lari, main, emak, bapa dan sebagainya.
Guru akan memperkenalkan beberapa perkataan dahulu dan diulang-ulang menyebutnya. Kebiasaannya perkataan tersebut disertakan gambar dan adalah diandaikan yang murid belajar secara pandang (visual). Kaedah ini tidak menggunakan aktiviti mengeja sama sekali.
Sekiranya murid tidak dapat menyebut perkataan tertentu, guru digalak menggunakan fonik atau bunyi huruf, iaitu menghubungkan satu huruf dengan satu bunyi untuk membantu pelajar menyebut perkataan tersebut. Misalnya bagi perkataan ”rumah”, guru boleh membantu murid dengan menyebut bunyi huruf ”r” iaitu [ r ] dan kalau perlu membunyikan suku kata [ ru ]


Pendekatan holistik
Pendekatan ini baru sahaja diperkenalkan di negara ini, terutama dalam pengajaran membaca dalam bahasa Melayu (Mahzan Arshad 2003).
Prinsip asas pendekatan ini ialah murid-murid bukan sahaja diajar untuk menguasai kemahiran membaca, tetapi juga menikmati bahan bacaan.
Pendekatan ini diperkenalkan dalam pengajaran bacaan kerana penulis mendapati masyarakat Malaysia mempunyai kadar boleh membaca yang tinggi, tetapi tidak mempunyai minat membaca yang menggalakkan.

Pengajaran membaca secara tradisional
Hal yang demikian ini berlaku kerana penekanan pengajaran membaca yang diajarkan di sekolah terlalu menegaskan aspek mendekod dan mengenal pasti perkataan secara keseluruhan (pendekatan fonik dan keseluruhan kata).
Seterusnya pengajaran membaca di sekolah terlalu menegaskan aspek pemahaman bahan bacaan, iaitu pegajaran bacaan kerap dimulakan dengan membaca bahan secara nyaring dan diikuti dengan soalan perbendaharaan kata dan soalan kefahaman membaca

Aspek penghayatan
Pengajaran membaca menerusi pendekatan holistik juga menegaskan aspek mendekod dan memahami.
Perbezaannya dengan kedua-dua pedekatan di atas ialah pendekatan holistik menegaskan aspek penghayatan bahan selain daripada proses mengenal pasti huruf dan bunyi huruf atau sebutan sesuatu perkataan yang tepat.

Penggunaan bahan autentik
Bahan yang digunakan dalam pendekatan holistik ialah bahan yang autentik, iaitu buku yang sebenar atau buku yang dihasilkan oleh guru atau murid-murid sendiri.
Pendekatan ini mengelak daripada menggunakan carta huruf atau perkataan.
Guru membawa buku yang sebenar ke dalam kelas dan memberikan murid-murid peluang mengalami bahan yang mempunyai struktur yang lengkap.

Pendekatan fonik
Pendekatan fonik pada awalnya digunakan bagi mengajar membaca pada tahap mendekod perkataan.
Murid-murid diajar untuk mengenali huruf dari A hinggalah ke Z.
Teknik yang digunakan ialah latih tubi, iaitu murid-murid akan diajar mengenal setiap huruf dan bunyinya.

Membaca bagi memberi makna
Peringkat mendekod seperti yang kita pelajari dahulu ialah satu peringkat awal dalam sistem komunikasi bertulis.
Namun demikian, walaupun seseorang yang dapat melakukan proses mendekod ini dengan baik, tidak bermakna bahawa dia telah menguasai kemahiran membaca.
Kemahiran membaca hanya diperolehi sekiranya pembaca tersebut dapat membina makna daripada bahan yang bertulis.

Pendekatan keseluruhan kata
Pendekatan pengajaran membaca secara keseluruhan kata ini banyak digunakan dalam pengajaran membaca pada masa ini.
Penekanan bukan kepada bunyi huruf tetapi bunyi keseluruhan perkataan yang terdapat pada sesuatu bahan bacaan.
Penegasan membaca ialah pada setiap perkataan yang penuh, bukan bunyi perkataan berlandaskan sistem ejaan dalam sesuatu bahasa.

Membaca secara keseluruhan
Guru akan menyediakan carta atau kad imbas yang mengandungi perkataan yang lengkap dan gambar yang disertakan dijadikan sebagai kiu bagi membantu murid menyebut perkataan tersebut.
 Pengulangan juga berlaku bagi memastikan mereka dapat menguasai sebutan sesuatu perkataan berdasarkan huruf yang tertera di bawah gambar tersebut.
Latihan mengulangi sebutan perkataan dijalankan sehingga murid benar-benar mahir dalam menyebut perkatan atau ayat yang mudah secara keseluruhan