#htmlcaption #htmlcaption #htmlcaption #htmlcaption #htmlcaption

Tuesday 14 May 2013

Pemilihan Bahan Bacaan


Kelakuan, kebolehan dan keupayaan membaca, dan minat golongan muda ini berbeza-beza mengikut peringkat umur. Setiap peringkat mempunyai ciri-ciri psikologi yang berbeza.  Oleh itu, persembahan dan penyampaian yang sesuai amat diperlukan dalam sesebuah bahan bacaan . Secara umumnya kanak-kanak dibahagikan kepada kumpulan-kumpulan umur seperti yang berikut:

1. umur 0-6 tahun (peringkat prasekolah)
Kanak-kanak pada peringkat umur ini belum lagi mempunyai fikiran yang kritis untuk memahami sebab dan akibat atau cara dan tujuan. Pengetahuan mereka tentang kenyataan adalah sangat sederhana.
Bbuku-buku untuk peringkat umur ini harus mengandungi teks yang pendek, penuh dengan aksi mudah yang menuju kepada kesimpulan yang memuaskan. Ia juga harus mempunyai perkaitan dengan dunia sehariannya agar dapat membantu mereka memahami dan menginterpretasikan dunia sekelilingnya.


2. umur 6-8 tahun
Kanak-kanak yang berada pada peringkat umur ini mempunyai sifat ingin tahu dan mereka juga sudah mula mengerti serba sedikit apa-apa yang dibicarakan oleh orang dewasa.  Kanak-kanak selalunya telah bersedia untuk membaca jika
tertanya-tanya tentang huruf dan perkataan dalam buku, akhbar atau kertas;
meluangkan masa “membaca” buku-buku bergambarnya;
suka mendengar cerita;
berminat dalam perkataan-perkataan dan leka untuk meningkatkan tatabahasanya; dan
berpura-pura menulis dan membaca—cuba untuk menyalin huruf-huruf dan nombor.
Pada peringkat ini, mereka mungkin sudah boleh membaca buku yang mengandungi teks yang banyak. Buku-buku bergambar juga masih sesuai untuk mereka kerana gambar-gambar yang terdapat dalam buku boleh memberi gambaran kepada teks. Mereka juga berminat dalam hal-hal yang berkaitan dengan binatang dan alam semula jadi.


3. umur 8-10 tahun
Pada peringkat ini, kanak-kanak mempunyai daya imaginasi yang semakin berkembang dan mereka seronok dengannya. Oleh itu, untuk membantu kanak-kanak memenuhi keperluannya ketika berimaginasi, bahan bacaan yang mengandungi cerita dongeng dan cerita rakyat amat sesuai digunakan untuk mereka.

4. umur 10-12 tahun
Pada peringkat ini, mereka telah mempunyai sikap kritis terhadap unsur-unsur kenyataan dan bersedia untuk menerima pengetahuan baharu.  Perkembangan tatabahasanya juga berkembang dengan cepat dan mempunyai kebolehan yang tinggi dalam mengungkapkan idea-idea yang abstrak. Mereka juga berusaha belajar untuk mendapatkan maklumat daripada buku. Mereka sudah mampu mengikuti arahan-arahan yang terdapat dalam buku mereka. Oleh itu, pada peringkat ini, buku yang berhubung dengan seni dan kerja tangan mampu menarik minat mereka.

Di samping itu, kanak-kanak lelaki dan perempuan sudah mula menunjukkan minat yang berbeza. Pada usia ini, kanak-kanak perempuan lebih berminat kepada alam persekolahan, kisah binatang, fantasi, dan sejarah manakala kanak-kanak lelaki pula lebih menggemari kisah pengembaraan, cerita lucu, dan buku yang berkaitan dengan subjek hobi, saintifik dan teknikal.
Walaupun pembahagian peringkat kanak-kanak mengikut umur tidak begitu jelas dan menimbulkan perbezaan, orang-orang dewasa yang terlibat dengan kanak-kanak perlu tahu serba sedikit tentangnya. Ini kerana setiap peringkat umur, kanak-kanak memerlukan bahan penerbitan yang berbeza dari segi persembahan dan bentuk bahannya.

No comments:

Post a Comment