#htmlcaption #htmlcaption #htmlcaption #htmlcaption #htmlcaption

Tuesday 14 May 2013

Pendekatan Dalam Mengajar Membaca


Assalamualaikum dan selamat sejahtera diucapkan. Entri kami pada kali ini akan menerangkan mengenai kepelbagaian kaedah dan pendekatan dalam mengajar kemahiran membaca. Terdapat pelbagai teknik dan pendekatan yang boleh diaplikasikan untuk mengajar kemahiran membaca. Guru digalakkan untuk memvariasikan teknik dan kaedah pengajaran yang menarik agar dapat mencapai objektif yang telah ditetapkan. Antara kaedah yang menarik dalam mengajar kemahiran membaca ialah:

Pendekatan Abjad/huruf
Kaedah ini merupakan kaedah yang paling biasa digunakan dalam mengajar mengeja dan membaca perkataan. Kaedah ini mementingkan kanak-kanak mengenal nama-nama huruf dari a – z. Selepas itu kanak-kanak diajar mengenali huruf-huruf vokal a, e, i, o, u, huruf-huruf konsonan, dan diftong ai, au,oi. Bunyi-bunyi huruf juga diperkenalkan pada peringkat ini. Selepas itu huruf-huruf ini digabungkan bagi membentuk suku kata dan seterusnya perkataan.
Contoh: Memperkenalkan huruf - a - z
Memperkenalkan huruf vokal a, e, i, o, u
Menggabungkan huruf konsonan dan vokal - ba, be, bi, bo, bu
Membentuk perkataan daripada suku kata - ba + tu batu
Seterusnya membentuk rangkai kata dan ayat mudah.
Kekuatan kaedah ini adalah kerana sesuai dengan binaan perkataan bahasa Melayu yang terdiri daripada suku kata yang tetap bunyinya. Kaedah ini juga membolehkan kanak-kanak mengeja perkataan-perkataan baru yang belum dipelajarinya. Selain itu, kaedah ini memberi asas yang kukuh dalam membaca.


Pendekatan Pandang dan sebut/Kaedah Seluruh Perkataan
Kaedah ini sangat popular dalam mengajar bacaan dalam bahasa Inggeris, namun guru boleh mencuba kaedah ini untuk mengajar membaca dalam Bahasa Melayu. Melalui kaedah ini, pengajaran membaca adalah berdasarkan perkataan-perkataan yang biasa (sight words) diguna seharian yang membentuk kebanyakan pertuturan kita seperti saya, makan, lari, main, emak, bapa dan sebagainya.
Guru akan memperkenalkan beberapa perkataan dahulu dan diulang-ulang menyebutnya. Kebiasaannya perkataan tersebut disertakan gambar dan adalah diandaikan yang murid belajar secara pandang (visual). Kaedah ini tidak menggunakan aktiviti mengeja sama sekali.
Sekiranya murid tidak dapat menyebut perkataan tertentu, guru digalak menggunakan fonik atau bunyi huruf, iaitu menghubungkan satu huruf dengan satu bunyi untuk membantu pelajar menyebut perkataan tersebut. Misalnya bagi perkataan ”rumah”, guru boleh membantu murid dengan menyebut bunyi huruf ”r” iaitu [ r ] dan kalau perlu membunyikan suku kata [ ru ]


Pendekatan holistik
Pendekatan ini baru sahaja diperkenalkan di negara ini, terutama dalam pengajaran membaca dalam bahasa Melayu (Mahzan Arshad 2003).
Prinsip asas pendekatan ini ialah murid-murid bukan sahaja diajar untuk menguasai kemahiran membaca, tetapi juga menikmati bahan bacaan.
Pendekatan ini diperkenalkan dalam pengajaran bacaan kerana penulis mendapati masyarakat Malaysia mempunyai kadar boleh membaca yang tinggi, tetapi tidak mempunyai minat membaca yang menggalakkan.

Pengajaran membaca secara tradisional
Hal yang demikian ini berlaku kerana penekanan pengajaran membaca yang diajarkan di sekolah terlalu menegaskan aspek mendekod dan mengenal pasti perkataan secara keseluruhan (pendekatan fonik dan keseluruhan kata).
Seterusnya pengajaran membaca di sekolah terlalu menegaskan aspek pemahaman bahan bacaan, iaitu pegajaran bacaan kerap dimulakan dengan membaca bahan secara nyaring dan diikuti dengan soalan perbendaharaan kata dan soalan kefahaman membaca

Aspek penghayatan
Pengajaran membaca menerusi pendekatan holistik juga menegaskan aspek mendekod dan memahami.
Perbezaannya dengan kedua-dua pedekatan di atas ialah pendekatan holistik menegaskan aspek penghayatan bahan selain daripada proses mengenal pasti huruf dan bunyi huruf atau sebutan sesuatu perkataan yang tepat.

Penggunaan bahan autentik
Bahan yang digunakan dalam pendekatan holistik ialah bahan yang autentik, iaitu buku yang sebenar atau buku yang dihasilkan oleh guru atau murid-murid sendiri.
Pendekatan ini mengelak daripada menggunakan carta huruf atau perkataan.
Guru membawa buku yang sebenar ke dalam kelas dan memberikan murid-murid peluang mengalami bahan yang mempunyai struktur yang lengkap.

Pendekatan fonik
Pendekatan fonik pada awalnya digunakan bagi mengajar membaca pada tahap mendekod perkataan.
Murid-murid diajar untuk mengenali huruf dari A hinggalah ke Z.
Teknik yang digunakan ialah latih tubi, iaitu murid-murid akan diajar mengenal setiap huruf dan bunyinya.

Membaca bagi memberi makna
Peringkat mendekod seperti yang kita pelajari dahulu ialah satu peringkat awal dalam sistem komunikasi bertulis.
Namun demikian, walaupun seseorang yang dapat melakukan proses mendekod ini dengan baik, tidak bermakna bahawa dia telah menguasai kemahiran membaca.
Kemahiran membaca hanya diperolehi sekiranya pembaca tersebut dapat membina makna daripada bahan yang bertulis.

Pendekatan keseluruhan kata
Pendekatan pengajaran membaca secara keseluruhan kata ini banyak digunakan dalam pengajaran membaca pada masa ini.
Penekanan bukan kepada bunyi huruf tetapi bunyi keseluruhan perkataan yang terdapat pada sesuatu bahan bacaan.
Penegasan membaca ialah pada setiap perkataan yang penuh, bukan bunyi perkataan berlandaskan sistem ejaan dalam sesuatu bahasa.

Membaca secara keseluruhan
Guru akan menyediakan carta atau kad imbas yang mengandungi perkataan yang lengkap dan gambar yang disertakan dijadikan sebagai kiu bagi membantu murid menyebut perkataan tersebut.
 Pengulangan juga berlaku bagi memastikan mereka dapat menguasai sebutan sesuatu perkataan berdasarkan huruf yang tertera di bawah gambar tersebut.
Latihan mengulangi sebutan perkataan dijalankan sehingga murid benar-benar mahir dalam menyebut perkatan atau ayat yang mudah secara keseluruhan

No comments:

Post a Comment